SURAH an-Nuur yang bererti cahaya, mengandungi 64 ayat, diturunkan di
Madinah beberapa tahun selepas hijrah. Dalam surah ini terkandung ayat
dan petunjuk Allah bagi manusia yang berhubung dengan hidup bermasyarakat,
mahu pun berumah tangga. Semuanya, adalah cahaya yang menyinari kehidupan
manusia dalam menempuh jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.
Allah memulakan surah ini dengan satu penegasan agak unik dan berbeza
dengan surah lain. Firman-Nya bermaksud: "(Ini adalah) satu surah yang
Kami turunkan dan Kami fardukan (menjalankan hukum yang ada dalam)nya,
dan Kami turunkan dalamnya ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya."
(Surah an-Nur, ayat 1)
Secara jelas dan tegas apa yang terkandung dalam surah ini diturunkan
oleh Allah dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang beriman kepadaNya dan
ayatNya, supaya menerima dan melaksanakannya tanpa ragu-ragu atau
berdolak dalik.
Penegasan seperti ini sangat penting. Ia adalah asas kukuh dalam hati
setiap Muslim agar bersedia mendengar, menerima dan seterusnya
melaksanakan apa saja yang tuntut oleh-Nya. Meragui dan mempersoalkan
hukum atau peraturan Allah tidak wujud sama sekali dalam hati orang
beriman. Ini sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud:
"Sesungguhnya jawapan orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah
dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) antara mereka ialah
ucapan:"Kami mendengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang yang beruntung."
(Surah an-Nuur, ayat 51)
Masyarakat adalah himpunan manusia daripada lelaki dan wanita. Mereka
bukan saja saling memerlukan, malah difitrahkan mempunyai keinginan yang
kuat terhadap satu sama lain. Bagi memenuhi keinginan semula jadi ini,
Allah mensyariatkan perkahwinan dan menggesa pihak berkuasa dalam
sesebuah masyarakat atau keluarga memberikan perhatian sewajarnya terhadap anggota
yang belum berkahwin.
Firman Allah bermaksud: "Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara
kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan
hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan
mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha
Mengetahui." (Surah an-Nur, ayat 32)
Perkahwinan adalah satu-satunya jalan paling selamat dan terhormat bagi
memenuhi keinginan semula jadi manusia. Keinginan seksual adalah wasilah
atau jalan yang menghubungkan antara satu generasi dengan generasi
sebelum dan selepasnya. Lantaran, ia tidak boleh dipadam atau diketepikan.
Keinginan itu tidak boleh pula dibiar lepas bebas tanpa batasan. Ini
kerana keadaan sedemikian bukan saja akan menjatuhkan martabat insan,
malah boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat seluruhnya.
Ayat di atas ditujukan kepada ketua keluarga serta pihak yang berkuasa
dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak sepatutnya mengabaikan anggota
yang belum mempunyai pasangan hidup yang sah. Kemiskinan bukan suatu
alasan untuk melambat-lambatkan urusan perkahwinan. Jalan mesti dicari.
Penyelesaian mesti diusahakan. Allah sendiri memberi jaminan akan
memudahkan rezeki orang yang ingin berkahwin (Jika mereka miskin Allah
akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya).
Hubungan antara lelaki dengan perempuan yang lain daripada ikatan
perkahwinan dibataskan dengan adab serta panduan tertentu. Ini supaya
keutuhan keluarga yang dibina terpelihara, terselamat daripada fitnah dan
noda serta terhindar daripada jerangkap syaitan durjana.
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah
lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang
mereka perbuat." (Surah an-Nur, ayat 30).
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka
menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan
hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka..." (Surah an-Nur,ayat 31)
Lelaki dan wanita tidak dihalang daripada membabitkan diri dalam
masyarakat. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang
bertanggungjawab membangun, memaju dan memeliharanya daripada perkara
yang boleh menjejaskan kesejahteraannya. Apa yang wajib dilakukan ialah
memelihara tiga perkara iaitu menjaga mata, kemaluan dan aurat.
Hari ini, kesedaran memakai tudung di kalangan Muslimah laksana gelombang
besar yang tidak mampu dibendung oleh sesiapa lagi. Memakai tudung saja
tidak memadai. Mata hendaklah sentiasa dijaga kerana ia adalah penggoda
yang amat berbisa. Apabila mata bertentang mata, hati mula berkata-kata,
nafsu pun ikut bergelora, lantas iman terluntur dan iblis segera
menjalankan peranan.
Tidak cukup juga dengan kaum wanita saja yang bertudung litup, menutup
aurat dan menjaga maruah. Kaum lelaki juga seharusnya melakukan perkara
sama. Kaum lelaki wajib juga mematuhi adab menundukkan pandangan dan
kewajipan memelihara tiga perkara tadi. Ayat itu tidak hanya ditujukan
kepada wanita, bahkan menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita.
Kadang-kadang terdengar suara mengatakan menutup aurat juga tidak
selamat.Mungkin ada benarnya luahan itu. Ini kerana menutup aurat mesti
dilaksanakan secara bersepadu dengan memelihara pandangan serta aturan
lain yang terkandung dalam surah ini. Ia tidak boleh diambil secara terpisah.
Perkara lain yang wajib dijauhi ialah memfitnah dan menyebarkan keburukan
serta kemungkaran. Firman Allah bermaksdu: "Dan orang yang menuduh wanita
yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat
orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali
sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 4)
Tidak dapat dinafikan bahawa fitnah atau tuduhan tanpa bukti meninggalkan
kesan yang mendalam dalam diri seseorang sama ada dari aspek kejiwaan
atau kemasyarakatan. Kesan itu bukan saja dirasai oleh orang yang dituduh,
malah seluruh anggota keluarganya. Lantaran, Islam melarang perbuatan
menuduh tanpa saksi hingga hukuman yang dikenakan ke atasnya hampir sama
berat dengan hukuman ke atas orang yang melakukan zina.
Penyebaran perbuatan keji juga laluan yang memudahkan anggota masyarakat
terjebak dalam kemaksiatan. Ini kerana sesuatu kemungkaran itu, apabila
disebarkan akan cepat merebak dan mendorong anggota lain meniru perbuatan
sama. Lantaran, tidak wajar disebarkan secara meluas hanya sekadar untuk
dijadikan bahan berita tanpa diiringi usaha bersungguh-sungguh untuk membendungnya.
Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka agar (berita)
perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab
yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu
tidak mengetahui." (Surah an-Nuur, ayat 19)
Kesungguhan Islam memerangi kemungkaran, khususnya zina yang menjadi
punca runtuhnya institusi keluarga, tercemarnya zuriat dan menimbulkan
keresahan masyarakat, dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap
seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas
kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama
Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah
(pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang beriman."
(Surah an-Nur, ayat 2)
No comments:
Post a Comment